Thursday, February 11, 2010


FUNGSI AGAMA


Agama adalah jawapan dan penyelesaian kepada fungsi kehidupan manusia.

Fungsi pertama agama, ialah mendefinisikan siapakah saya dan siapakah Tuhan, serta bagaimanakah saya berhubung dengan Tuhan itu. Bagi Muslim, dimensi ini dinamakan sebagai HABLUN MINALLAH(Hubungan Dengan ALLAH) dan ia merupakah skop manusia meneliti dan mengkaji kesahihan kepercayaannya dalam menghuraikan persoalan diri dan Tuhan yang disebutkan tadi. Perbincangan tentang fungsi pertama ini berkisar tentang Ketuhanan, Kenabian, Kesahihan Risalah dan sebagainya.

Kategori pertama ini, adalah daerah yang tidak terlibat di dalam dialog antara agama. Pluralisma, TIDAK bermaksud menyamaratakan semua agama dalam konteks ini. Mana mungkin penyama rataan dibuat sedangkan sesiapa sahaja tahu bahawa asas agama malah sejarahnya begitu berbeza. Tidak mungkin semua agama itu sama!

Manakala fungsi kedua bagi agama ialah mendefinisikan siapakah kita dalam konteks interpersonal iaitu bagaimanakah kita berhubung dengan manusia. Bagi pembaca Muslim, kategori ini saya rujukkan ia sebagai HABLUN MINANNAS(Hubungan Dengan Manusia)

Ketika Allah SWT menurunkan ayat al-Quran yang memerintahkan manusia agar saling kenal mengenal (Al-Hujurat 49: 13), perbezaan yang berlaku di antara manusia bukan sahaja meliputi perbezaan kaum, malah agama dan kepercayaan. Fenomena berbilang agama adalah seiring dengan perkembangan manusia yang berbilang bangsa itu semenjak sekian lama.

Maka manusia dituntut agar belajar untuk menjadikan perbezaan itu sebagai medan kenal mengenal, dan bukannya gelanggang krisis dan perbalahan.

Untuk seorang manusia berkenalan dan seterusnya bekerjasama di antara satu sama lain, mereka memerlukan beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama untuk menghasilkan persefahaman. Maka di sinilah, dialog antara agama (Interfaith Dialogue) mengambil tempat. Dialog antara agama bertujuan untuk menerokai beberapa persamaan yang ada di antara agama. Dan persamaan itu banyak ditemui di peringkat etika dan nilai.

KOMPONEN AGAMA



Dari mana sahaja kita melihat, agama Islam akan mempamerkan tiga dimensi ini. Setiap perintah Allah SWT adalah berlangsung di atas dasar Iman. Iman itu diproses melalui ritual ibadah. Tetapi agama tidak berhenti setakat itu.

Ibadah adalah taabbud kita kepada Allah, namun Allah tidak mempunyai kepentingan terhadap Taabbud kita kepada-Nya. Maka, apakah tujuan Ibadah yang memproses Aqidah itu?

Tidak lain dan tidak bukan, tujuannya adalah untuk manusia itu sendiri. Aqidah yang diproses melalui Ibadah, adalah bertujuan untuk menghasilkan karakter, kualiti dan nilai tertentu dalam diri manusia itu sendiri. (Iman, Islam dan Ihsan…) (Iman, Solat, Tercegah dari Mungkar…) (Iman, Puasa, Taqwa…) kesemua suruhan agama berada di dalam kerangka ini.

Ada di antara nilai yang terhasil melalui proses Ibadah itu, adalah untuk kegunaan dan manfaat manusia terhadap dirinya sendiri. Ada juga nilai yang terhasil, perlu digunakan untuk manusia berhubung dengan manusia yang lain.

Ini adalah asas yang mesti ada di dalam kefahaman kita terhadap komponen agama.



AGAMA HINDU

AGAMA HINDU mengiktiraf keesaan Tuhan Pencipta. Manakala patung-patung yang ada di dalam kuil, mewakili beberapa konsep yang ingin dicapai. Apabila seorang penganut Hindu pergi ke satu patung, maka beliau melakukan beberapa bentuk meditasi, menawar sembahan dan lain-lain, demi untuk mencapai kualiti tertentu… seperti kehancuran ego, sabar dan lain-lain.

Maka ketuhanan dan ritual yang mereka lakukan, adalah untuk mencapai kualiti tertentu bagi kehidupan penganutnya. Dalam erti kata yang lain, pada agama Hindu itu sendiri, ada input, proses dan output. Hal yang sama juga boleh dilihat pada agam Kristian dan Yahudi. Walaupun agama Buddha tidak mempunyai konsep Tuhan Pencipta, namun meditasi dan ritualnya tetap mempunyai sandaran kepercayaan, dan segala bentul ritual itu pula, juga untuk mencapai kualiti tertentu terhadap diri manusia.

Inilah intipati kepada Dharma. Mahatma Gandhi pernah berkata yang beliau tidak mempunyai sebarang bantahan kepada mesej misionari Kristian tetapi beliau berharap agar mereka lebih komited terhadap Dharma mereka sendiri – iaitu Kristianiti yang sebenar.

TUMPUAN DIALOG ANTARA AGAMA

Maka, nilai dan kualiti inilah yang menjadi fokus dialog antara agama. Oleh kerana kesemua agama mempunyai matlamat yang selaras, maka ia menjadi medium paling realistik untuk menjadikan manusia boleh bersefahaman dan bekerjasama. Sebagaimana agama boleh menjadi punca konflik (apabila manusia lebih cintakan ‘agama’nya berbanding Tuhan), maka agama jugalah penyelesaian kepada konflik itu, iaitu dengan membetulkan kembali mindset kita terhadap komponen agama.




Kesemua agama mengajar manusia menjadi baik.

Cuma, sebagai pedoman kepada pembaca Muslim, di sinilah saya ingin menunjukkan rahsia di sebalik ungkapan Nabi Muhammad SAW:

“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurniakan kemuliaan dan nilai Akhlaq” (Disahihkan oleh al-Albani – 1/45)
Kesempurnaan yang dimaksudkan di sini ialah kerana input dan proses kepada Akhlaq itu, disempurnakan melalui ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda. Maka Baginda SAW menegaskan bahawa kedatangannya adalah untuk menyempurnakan Akhlaq.

Agama-agama lain juga meletakkan output ajarannya sebagai tingkah laku, karakter dan sikap yang baik, yang dinamakan Akhlaq oleh Islam. Namun kepada umat Islam, kita menganggap bahawa input dan prosesnya telah mengalami pelbagai masalah. Maka Muhammad SAW diutuskan untuk memperbetulkan kembali input (Aqidah) dan proses (Ibadah) kepada Akhlaq. Dengan pembetulan itu, maka sempurnalah Akhlaq sebagaimana yang diperjelaskan oleh Baginda SAW di dalam hadith di atas.

AGAMA YANG BENAR?

Akan tetapi, soal mana satukah input dan proses yang betul.

Inilah yang agak kurang diperjelaskan, sehingga pelbagai isu timbul dalam kalangan PENGANUTtentang penegasan masing-masing terhadap agama mereka.

“Tidak mungkin agama dapat disatukan”, kata A.

“Tidak mungkin ada dua kebenaran di sini. Hanya satu yang betul”, kata B.

Tentu sahaja. Tiada siapa di kalangan pencetus idea dialog ini mahu mengajak kepada penyatuan agama. Malah interfaith dialogue mewajibkan kita untuk mengiktiraf perbezaan yang wujud antara agama, namun mengajak kita kepada meneroka persamaan. Di manakah persamaan itu? Jawapannya ialah kepada OUTPUT. Jika manusia berpegang kepada agama, maka mereka pasti cintakan keadilan, keamanan, kerendahan diri sesama insan, hormat menghormati… kerana kesemua nilai ini adalah apa yang mahu dicapai oleh semua agama.



MAKA REEEEEEENUUUUUUUUNG2ANKAN LAH

No comments:

Post a Comment